Thursday, March 29, 2012

Anak kecil dalam hutan batu.

  Entry terakhir yang saya post disini ialah pada 30 Januari 2012, kira-kira 2 bulan yang lalu. Terdapat beberapa kekangan yang membuat saya tidak mengemaskini blog ini. Terlalu banyak cerita juga yang saya simpan di "ruang" kecil dalam kepala saya ini. Tapi sebagai permulaan, saya hanya ingin berkongsi tentang kehidupan insan lain yang kita terlepas pandang atau kita pura-pura "membutakan" mata agar tidak melihatnya.

Catatan 2hb Mac 2012, Jumaat, Pasar Seni.

  Ceritanya bermula begini,pada hari itu hanya saya dan Meor yang ada di pejabat. Entah di mana silapnya  staf di seksyen saya ramai yang bercuti dan dapat cuti sakit pada hari tersebut. Meor terpaksa uruskan hal di luar pejabat dan saya pula perlu membantu melancarkan operasi di kaunter yang terdapat di Pasar Seni. Jadi di pejabat memang tidak berpenghuni. 

  Setibanya saya di Pasar Seni, kawan sekerja saya sudah sedia menanti untuk bertugas bersama-sama. Apabila menjelang tengahari saya dan Helmi ke Masjid Negara untuk menunaikan kewajipan sebagai hamba kepada Allah. Dan ini merupakan pengalaman pertama saya menunaikan solat Jumaat di sana, untuk ke sana kami perlu melewati laluan bawah tanah yang terletak berhampiran Pejabat Pos Besar dan ia memakan masa selama 30 minit untuk tiba. Semasa sampai ke Masjid Negara tiada apa yang menarik perhatian saya kecuali barang dagangan dan bau-bau makanan yang enak di perkarangan masjid. 

  Dalam perjalanan pulang saya perlu lalui jalan yang sama seperti mana saya dan Helmi sampai ke masjid. Sejurus beberapa langkah menuruni anak tangga, saya nampak seorang kanak-kanak lelaki comel dengan tona kulit yang gelap sedang 'bergayut-gayut" dengan seronok di palang pemegang di sepanjang anak tangga itu. Saya tersenyum sendiri melihatnya, apabila saya sudah habis menuruni anak tangga betapa luluh hati saya melihat seorang ibu sedang memberi 3 orang anaknya makan mee hun sup dari bekas pakai buang. Saya terhenti kaku di situ tanpa sedar Helmi telah jauh meninggalkan saya di belakang. Dari raut wajah mereka, saya tahu mereka mungkin berstatus pelarian UNHCR cuma saya tidak pasti bagaimana mereka boleh hidup melarat sehingga sebegitu rupa. 

  Saya bukan sedih kerana melihat ibunya tetapi anak-anak kecil yang belum tahu apa yang akan mereka tempuh esok hari tanpa pendidikan formal ataupun pendidikan asas yang sempurna. Saya juga seperti tidak percaya bahawa setiap orang yang melewati laluan berkenaan boleh melihat aksi si ibu berkenaan memberi mee hun sup yang dikongsi mereka anak-beranak itu. Setelah sekian lama mengamati keluarga berkenaan, saya bagaikan terjaga dari mimpi dan cuba mengejar Helmi yang sudah jauh di hadapan. Saya lemah tidak mampu berbuat apa, saya cuma mampu berdoa agar Tuhan menemukan mereka dengan seseorang yang boleh membantu mereka sekeluarga. Sesungguhnya saya sangat kasihan melihat anak-anak kecil itu.

3 comments:

NUke_Rude said...

welcome back!

and yeah. life must goes on. Siapa yg tak tabah and tak kuat, dia akan 'mati' dan terkebelakang.

nak survive dlm kota batu ni, kena pandai2 hidup.

FaizalSulaiman said...

simpati

tengku_fir21 said...

@nukerude:
kita perlu skil survival yg lebih tajam kan

@faizal sulaiman:
simpati mencukupi?